Rabu, 3 Julai 2013

Menteri UMNO Vs Timbalan Ketua Pemuda PAS


KUALA LUMPUR 3 Julai - Kerajaan digesa supaya tidak sesekali tunduk kepada tekanan pertubuhan hak asasi manusia terutama dari luar khususnya berhubung pelaksanaan hak menukar agama dalam kalangan penganut Islam dan kebebasan amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).


Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pas-Pasir Mas) berkata, penentangan terhadap tuntutan itu penting bagi memastikan kesucian Islam sebagai agama Persekutuan terus terpelihara selain tidak mahu umat Islam tempatan, rakyat keseluruhan serta pembangkang dicemari nilai negatif.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu mempertahan dan memperjuangkan konsep hak asasi manusia seperti diperkenalkan Nabi Muhammad SAW dalam Piagam Madinah kira-kira 1,400 tahun lalu yang selari dengan amalan demokrasi moden.

"Saya difahamkan daripada sumber tidak rasmi bahawa kerajaan terima tekanan daripada pelobi-pelobi hak asasi manusia luar negara.

"Mereka menuntut pelaksanaan hak asasi manusia yang nyata bertentangan dengan Islam seperti untuk bertukar agama, pindah agama atau murtad selain hak mengamalkan kegiatan-kegiatan yang tegas dilarang agama seperti LGBT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Ketua Pemuda Pas itu turut memperjelaskan kepada dewan bahawa Islam merupakan agama universal yang memberi rahmat kepada sekalian alam dan undang-undang agama itu terpakai kepada seluruh umat manusia.

"Umat Nabi Muhammad bukan sahaja penganut Islam tetapi penganut agama lain juga umat junjungan besar Rasulullah.

"Cumanya, umat Islam mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat sementara penganut lain mendapat kebahagiaan di dunia, jadi kesaksamaan Islam itu boleh dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh turut mengingatkan kerajaan supaya melaksanakan dasar belia dengan cara sentiasa mencabar mereka melakukan perkara-perkara yang berani selari dengan Islam.

Katanya, pembangkang sentiasa bersedia bekerjasama dalam memastikan program perkembangan belia dilaksanakan menurut agama tersebut.-utusan


KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak bersetuju dengan cadangan akta penukaran agama kanak-kanak secara satu pihak sahaja dengan mengatakan ia tidak adil kepada bukan Islam.

Beliau berkata, adalah tidak adil bagi satu pihak saja untuk menentukan agama seorang kanak-kanak di bawah umur kepada Islam.

"Sebagai seorang peguam dan beragama Islam, saya tidak selesa dengan situasi ini," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata sebagai seorang yang beragama Islam dan pemimpin di negara ini, 'adalah menjadi tanggungjawab kita untuk melindungi kaum minoriti dan memastikan hak mereka dilindungi."

"Saya percaya apa yang berlaku pada hari ini adalah menangguhkan masalah yang lebih besar," katanya.

Beliau dimintas mengulas mengenai cadangan pindaan ke atas Seksyen 107(b) Rang Undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 untuk membenarkan salah seorang ibu bapa memadai untuk menukar agama kanak-kanak kepada Islam.

Antara lain, Rang Undang-Undang itu membenarkan mana-mana individu berusia di bawah 18 tahun untuk menukar agama kepada Islam sekiranya salah seorang ibu bapa atau penjaga mempersetujuinya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kepada semua parti bahawa mereka akan diberikan penjelasan sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai perkara itu.-mStar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan